Tuesday, July 28, 2009



ARKIB : 27/07/2009
Mazuan Juara Asyik 2009
Mazuan Bah Gajah (kiri) juara pertandingan Asyik 2009 bersama Maznah Majid dan Wah Moliz Bah Long (kanan) di Angkasapuri, Kuala Lumpur, malam tadi.
KUALA LUMPUR 26 Julai - Remaja suku kaum Semai, Mazuan Bah Gajah, 19, muncul sebagai johan pertandingan Juara Asyik 2009 yang diadakan di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini malam ini.
Kemerduan suara peserta yang berasal dari Tapah, Perak itu menambat hati juri menerusi lagu Hanya Dirimu Dalam Hatiku ciptaan Anizan Rosli dan Penghujung Rindu yang dipopularkan oleh Jamal Abdillah, melayakkannya membawa pulang wang tunai RM10,000 di samping trofi dan sijil.
Mazuan turut menerima tawaran melanjutkan pelajaran di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam bidang muzik.Naib Johan dimenangi oleh Maznah Majid, 24, yang menyanyikan lagu Aku Di Sini dan Tak Mungkin Kerana Sayang berjaya membawa pulang RM8,000, trofi dan sijil.Ini merupakan kali kedua pertandingan Juara Asyik selepas penganjuran pada tahun 2007. Selain mencungkil bakat nyanyian dan penciptaan lagu di kalangan Orang Asli, ia juga sebagai medan mengangkat martabat golongan minoriti itu.Tuah turut memihak kepada peserta dari Gopeng Jaya, Perak, Wah Moliz Bah Long, 18, yang berjaya memenangi tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM6,000, trofi dan sijil.
Pencipta lagu terbaik pula dimenangi oleh Long Exsan Along dengan lagu Bintang nyanyian Wah Moliz.Selain trofi dan sijil, Long Exsan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM3,000.Hadiah kemenangan disampaikan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie yang diiringi Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Ibrahim Yahaya.Sebelum ini, sebanyak 453 penyertaan diterima pada peringkat uji bakat yang diadakan bermula Mei lalu di 10 kawasan sekitar Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kelantan, Johor dan Kuala Lumpur.
Pada tahun 2007, kumpulan Keey-Looi muncul sebagai Juara Asyik yang pertama.

Wednesday, July 22, 2009

Pencarian Bakat Baru Dalam Juara Asyik 2009
Kejayaan penganjuran Juara Asyik 2007 oleh RTM untuk mencari bakat-bakat baharu penyanyi dan pemuzik Orang Asli mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dalam kalangan belia Orang Asli. Lebih meyakinkan apabila belia-belia Orang Asli di seluruh Semenanjung menyokong penganjuran pertandingan ini dan berharap untuk menyertainya pada masa akan datang. Sebagai satu-satunya saluran mencungkil bakat nyanyian dan penciptaan lagu-lagu Orang Asli, ASYIKfm sekali lagi mengajurkan pertandingan Juara Asyik 2009 dan berharap program ini akan di adakan sebagai acara dwitahunan RTM.
Dengan penganjuran untuk kali yang kedua, Juara Asyik 2009 memberi sedikit kelainan apabila pertandingan ini terbuka untuk penyanyi solo dan bukannya berkumpulan seperti tahun 2007 selain terus mempopularkan ASYIKfm kepada khalayak pendengar yang berperanan memartabatkan lagu-lagu moden ciptaan Orang Asli sendiri sebagai khazanah bangsa dan mempunyai ‘sound of station’ serta keunukannya yang tersendiri.
Konsep pertandingan ini memberi tumpuan kepada pencarian bakat penyanyi solo dan penciptaan lagu-lagu oleh kugiran amatur (komposer) masyarakat Orang Asli. Lagu-lagu yang dibenarkan adalah yang berirama Pop Komersial, Balada, Rock, R&B, Dangdut dan Pop Etnik. Manakala pemarkahan adalah mengambil kira vokal, persembahan dan penampilan.
Ujibakat pertandingan terbuka kepada peserta kaum Orang Asli yang berumur antara 15 hingga 30 tahun pada tarikh hari uji bakat. ASYIKfm akan mengadakan beberapa uji bakat untuk memilih lapan peserta yang akan dipertandingkan ke peringkat akhir. Sebanyak 10 lokasi dicadangkan untuk mencari bakat-bakat penyanyi solo di penempatan mereka. Setiap peserta yang ingin menyertai Uji Bakat JA 2009 dikehendaki menghantar SMS. Caranya dengan menaip RAJ [Jarak] nama, lokasi uji bakat diadakan dan nombor telefon. Hantar ke 32776. Lokasi pertama ujibakat akan di adakan pada 2 dan 3 Mei 2009 hari Sabtu dan Ahad di Negeri Sembilan, Melaka dan Kompleks Rakan Muda Bera, Pahang. Seterusnya pada 9 Mei dan 19 Mei 2009 di Dewan Serba Guna Gerik, Perak. 16 dan 17 Mei 2009 di Kuala Rompin, Pahang. Pada 23 dan 24 Mei 2009 di Dewan Serbaguna, RPS Betau. Pada 5 dan 6 Jun 2009, ujibakat akan di adakan di Dewan Serbaguna RPS Kuala Betis, Gua Musang Kelantan dan Kluang Johor. 13 dan 14 Jun 2009 di Segamat Johor, 20 dan 21 Jun 2009 di Dewan Merdeka Tapah Perak dan lokasi terakhir ujibakat akan di adakan pada 27 Jun 2009 di Auditorium P.Ramlee, Wisma Radio Kuala Lumpur.
Pastikan anda mendengar siaran ASYIKfm untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai pertandingan Juara Asyik 2009.

Bahasa etnik subjek elektif?

23 JULAI 2009
[Utusan Online]
PENDIDIKAN
Bahasa etnik subjek elektif?
KOTA KINABALU 22 Julai - Kerajaan bersedia menyenaraikan bahasa etnik dan Orang Asli seperti Iban, Kadazandusun dan Semai sebagai subjek elektif di sekolah tambahan kepada beberapa bahasa antarabangsa yang boleh dipelajari kini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah itu bertujuan mengiktiraf kepentingan bahasa pelbagai kaum di negara ini setanding bahasa asing seperti Perancis, Jerman dan Jepun.
Bagaimanapun beliau menegaskan, keputusan itu bergantung kepada kesediaan guru untuk mengajar bahasa berkenaan.
''Kerajaan sedia membantu kerana untuk menyediakan buku teks, memang kita sudah ada kemampuan.
''Untuk bahasa antarabangsa seperti Perancis dan Jepun memang sudah diperkenalkan di sekolah berasrama penuh," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Puralan Boros Kadazandusun Id Sikul (Pelajaran Bahasa Kadazandusun di Sekolah) di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bahasa Kadazandusun, Tan Sri Simon Sipaun.
Mohd. Puad berkata, berdasarkan trend semasa, pengajaran bahasa etnik sebagai subjek elektif masih belum menyeluruh dan hanya bertumpu di kawasan atau daerah yang mempunyai ramai penutur bahasa berkenaan.
Bagaimanapun beliau menambah, pengajaran bahasa Kadazandusun sebagai subjek elektif telah menunjukkan peningkatan apabila seramai 700 pelajar yang mengambil kertas ujian bahasa berkenaan akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) Oktober ini.
''Mereka merupakan sebahagian daripada kira-kira 20,000 pelajar di negeri ini yang mengambil subjek Bahasa Kadazandusun sebagai elektif," katanya.
Berdasarkan statistik, Sabah kini mempunyai seramai 17,000 murid mengambil subjek Bahasa Kadazandusun di 205 sekolah kebangsaan manakala, 1,900 pelajar di sekolah menengah.
Selain itu, terdapat sebanyak 701 guru subjek Bahasa Kadazandusun kini bertugas di 621 sekolah rendah dan 80 sekolah menengah di negeri ini.
Sementara itu Mohd. Puad berkata, Kesusasteraan Inggeris yang akan diperkenalkan pada sesi persekolahan Januari depan diyakini lebih berkesan melahirkan pelajar fasih berbahasa Inggeris berbanding pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Ini kerana, jelasnya, subjek itu menjurus kepada 'didik hibur' yang lebih diminati pelajar dan dengan sendirinya memudahkan mereka mendalami bahasa antarabangsa itu.

Akiya : Kump.Cerpen Orang Asli "TUNTUT" oleh Akiya



Karya pertama Akiya :
Kumpulan Cerpen Orang Asli oleh Akiya
ISNB 983-62-7243-7
Penerbitan : DBP 2001

Thursday, July 16, 2009

Akiya : Perang Sangkil - novel [PTS,2007]



Karya Akiya sebuah novel sejarah Perang Sangkil [PTS 2007]

Wednesday, July 15, 2009

Inilah wajah pesrta Juara ASYIK 2009 yang berentap pada 26 Julai 2009. Di Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Siaran secara LIVE di TV 2 [Info Ria] dan Saluran Muzik Aktif 180 ASTRO RTM.
Jam 8.30 malam