ARKIB : 12/10/2009
Program Pembangunan Kemahiran Belia Orang Asli
KUANTAN 11 Okt. - Kementerian Sumber Manusia telah melancarkan Program Pembangunan Kemahiran Belia Orang Asli dengan hasrat memberi peluang sama rata kepada semua etnik di negara ini meningkatkan taraf hidup mereka.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, sebagai permulaan pihak kementerian menyasarkan penglibatan sekurang-kurangnya 100 belia Orang Asli yang masih menganggur di sesuatu kawasan.
Menurutnya, pihak kementerian juga merancang untuk mengadakan program-program kemahiran yang bersesuaian dengan kecenderungan masyarakat berkenaan.
''Selain itu, kementerian juga akan mengadakan program kerjasama dengan kementerian-kementerian lain sekiranya bidang kemahiran yang diperlukan itu berkaitan dengan kementerian tersebut,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Menurut Maznah, kelulusan asas yang diperlukan bagi mengikuti program tersebut ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelatih yang mengikuti program berkenaan akan ditempatkan di pusat-pusat latihan Jabatan Tenaga Manusia berhampiran.
''Bagi yang tidak mempunyai SPM, kementerian sedang berusaha untuk memberikan kemahiran bersesuaian supaya dengan sijil yang diperolehi mereka juga boleh mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri,'' jelasnya.
Dalam kenyataan tersebut, Maznah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah turut menyeru masyarakat Orang Asli supaya tidak lagi bergantung sepenuhnya pada pekerjaan tradisi semata-mata.
Mereka juga katanya, perlu mendapatkan pendidikan formal untuk menjamin kehidupan yang lebih baik.
''Jika masyarakat Orang Asli memerlukan kemahiran, Kementerian Sumber Manusia sedia membantu merancang kursus-kursus dan kemahiran yang diperlukan,'' katanya.
No comments:
Post a Comment