Tuesday, January 26, 2010

Akiya : AKTA 134 1954
Syor pinda akta tanah Orang Asli disambut baik

Tuesday, 29 December 2009 10:17am
KUALA LUMPUR 28 Dis. - Cadangan kerajaan untuk meminda Akta 134 Kanun Tanah Negara (KTN) bagi membolehkan Orang Asli diberikan hak memiliki tanah disambut baik dan dianggap sebagai wajar.Senator Muhammad Olian Abdullah berkata, beliau bersetuju dengan cadangan kerajaan meminda akta itu kerana selama ini taksiran tentang pemilikan tanah Orang Asli adalah tidak jelas dan kali terakhir dipinda pada 1974.Beliau yang merupakan Senator yang dilantik di kalangan Orang Asli berkata, perkara itu sudah lama tidak dibangkitkan sedangkan cara hidup Orang Asli dahulu dan kini adalah berbeza ditambah dengan cabaran kehidupan moden."Maka sudah tiba masanya perkara ini diperhalusi terutamanya soal tanah yang telah lama membelenggu kehidupan Orang Asli," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Aduan dan Siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof. Datuk Dr. Hamdan Adnan berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu lagi."Adakah kita mengharapkan Orang Asli perlu bersaing untuk membeli tanah sedangkan pendapatan mereka tidak seberapa."Mereka adalah penghuni asal di sini dan hak mereka tidak boleh dinafikan."Pindaan akta ini harus dibuat dan diperjelaskan dengan baik agar tidak menimbulkan konflik pada masa akan datang," katanya.Baru-baru, Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memberitahu, Akta 134 Kanun Tanah Negara (KTN) bagi membolehkan Orang Asli diberikan hak memiliki tanah akan dipinda pada sidang Dewan Rakyat awal tahun depan.Pindaan itu turut menyentuh takrifan Orang Asli, pembahagian harta pusaka dan lain-lain seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tanah Negara baru-baru ini.Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr. Fatimah Daud menganggap, sudah tiba masanya pindaan itu dilakukan."Mereka seakan terpinggir apabila kita membangkitkan hak pelbagai kaum sedangkan mereka juga inginkan hak yang sama rata."Pemberian hak pemilikan tanah kepada mereka tidak akan merugikan mana-mana pihak," ujarnya.Pakar Undang-undang, Profesor Salleh Buang pula berkata, Orang Asli kini sudah matang dan hidup seperti rakyat Malaysia yang lain, maka adalah wajar hak pemilikan tanah turut sama diberikan kepada mereka.Salleh juga berharap pindaan akta yang dicadangkan adalah adil dan tidak cenderung mengikut kepentingan mana-mana pihak.

No comments:

Post a Comment