Akta akan dipinda beri hak Orang Asli miliki tanah
Posted on December 25th, 2009 in Perlembagaan Malaysia / Perlembagaan Persekutuan
Akta 134 Kanun Tanah Negara (KTN) akan dipinda bagi membolehkan Orang Asli diberikan hak untuk memiliki tanah di negara ini.
Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pindaan tersebut antara lain melibatkan aspek takrifan Orang Asli, pembahagian harta pusaka dan lain-lain perkara berkaitan seperti dipersetujui dalam Majlis Tanah Negara pada mesyuaratnya baru-baru ini. Menurutnya, persetujuan untuk pindaan akta itu akan dibentangkan di Parlimen awal tahun depan.
“Kementerian telah mengemukakan cadangan pindaan dalam Akta 134 dan ia sedang diperhalusi oleh Pejabat Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya pada sidang akhbar selepas menutup Program Jejak Siswa Pelajar Orang Asli peringkat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) 2009 di Felda Residence Trolak, Sungkai dekat sini hari ini. Sebanyak 210 anak Orang Asli mengikuti program yang berlangsung sejak 21 Disember lalu.
Mohd. Shafie berkata, Akta 134 sedia ada hanya membolehkan sesuatu kawasan tanah itu diwarta dan dirizabkan untuk Orang Asli tanpa diberikan hak milik. “Selagi akta ini tidak dipinda, Orang Asli tidak mendapat hak milik tanah seperti kaum lain yang termaktub dalam KTN. “Kita perlu memberi penjelasan kerana kerajaan mahukan Orang Asli menikmati hak yang sama rata dengan kaum lain di negara ini,” katanya.
Mohd. Shafie berkata, kerajaan sentiasa meningkatkan kemudahan infrastruktur termasuk rumah dan jalan raya bagi memastikan taraf hidup rakyat ditambah baik. “Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian menetapkan usaha membangun dan pembabitan Orang Asli diberi perhatian ke arah pencapaian berkesan,” katanya. Bagi mencapai tujuan tersebut kata Mohd. Shafie, kerajaan juga akan memastikan anak Orang Asli mendapat pendidikan yang berkesan.
“Kalau ada anak Orang Asli yang sedang belajar di IPTA memperoleh purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 4.0, mereka akan dihantar melanjutkan pelajaran ke luar negara dengan bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Shafie berkata, anak Orang Asli yang melanjutkan pelajaran ke IPTA menikmati biasiswa setaraf dengan bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) iaitu RM3,500 bagi peringkat sijil setiap semester, diploma (RM5,000), ijazah (RM6,500) dan ijazah perubatan (RM7,000). “Kita pertingkatkan bantuan biasiswa ini supaya anak Orang Asli tidak terbeban dalam usaha mendapatkan ilmu,” katanya.
Beliau memberitahu, sebanyak 368 anak Orang Asli sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan sejak 2008 hingga November tahun ini. Tambah Mohd. Shafie, kerajaan akan terus membantu masyarakat Orang Asli dalam bidang ekonomi dan kesihatan bagi meningkatkan taraf hidup golongan itu dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
TANJUNG MALIM 24 Dis. –
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm
No comments:
Post a Comment