Friday, November 2, 2012


Orang Asli Dan Kota

Dr Anwar Ridhwan
2012/10/22

Sosiobudaya cetus pandangan berbeza

Akiya, atau nama sebenarnya Mahat Anak China, satu-satunya penulis keturunan Orang Asli yang paling berjaya dalam penulisan kreatif tanah air. Beliau berasal dari Kampung Erong, Ladang Ulu Bernam, Hilir Perak. Sehingga kini beliau menghasilkan kumpulan cerpen Tuntut (2001), novel Perang Sangkil (2007), dan kumpulan puisi Suara dari Dalam (2009). Semua karya di atas membabitkan isu Orang Asli dan warisannya.

Baru-baru ini dalam forum sempena ‘Seminar Sastera Pelbagai Kaum’ yang turut diliputi oleh BH, Akiya memberi tanggapan umum Orang Asli terhadap kota. Dalam sudut pandang Orang Asli, menurutnya, wujud seaneka unsur negatif di kota. Tanggapan ini pastinya berdasarkan pelbagai alasan. Alam konkrit kota pastilah jauh berbeza dengan kenyamanan dan kehijauan belantara. Namun yang lebih penting ialah nilai kepercayaan, sosial dan budaya warisan yang sangat berbeza.

Kita memahami alasan sosiologi dan perbandaran yang menyebabkan Orang Asli memiliki sudut pandang sedemikian. Jarak yang memisahkan antara kediaman mereka dengan kota, ketidakbiasaan tinggal di kota, serta belum ada kesempatan memetik elemen positif di kota, menyebabkan lahirnya sudut pandang seperti itu.

Filem papar sifat kota 

Orang Melayu dan karyawan Melayu juga pernah melalui sudut pandang yang sama dalam dekad sebelum merdeka dan era 1960-an.

Lihatlah umpamanya filem Antara Dua Darjat dan Penarik Becha – bagaimana watak miskin penuh budi bahasa yang mewakili nilai desa, bersemuka dengan orang kaya yang sombong dan materialistik yang mewakili nilai kota.

Baca juga drama seperti Atap Genting Atap Rumbia (karya Kala Dewata), atau Tamu di Bukit Kenny (Datuk Usman Awang). Watak desa atau berasal desa memiliki nilai yang dianggap lebih baik dan murni, berbanding watak kota yang dilukiskan sebagai angkuh, mata duitan, serta berbeza pandangan hidup sekurang-kurangnya untuk sementara waktu.

Ketika saya menyelenggarakan antologi puisi Kuala Lumpur terbitan GAPENA pada era 1973 – iaitu pilihan sajak 1960-an, banyak sekali saya temukan puisi yang melihat kota sebagai antagonis.
Pelbagai keburukan kota diungkapkan oleh penyair, secara jelas atau bermetafora – rasuah, penindasan golongan bawahan, masalah moral dan pelbagai penyakit sosial lagi. Kota amat menakutkan.

Orang Asli dan kita semua, akhirnya menyedari hakikat bahawa pembangunan bandar moden akan terus merebak, sampai ke batas perkampungan tradisional. Pembangunan kota moden mempunyai struktur, infrastruktur serta fungsi yang berlainan daripada perkampungan tradisional. Oleh itu, kedua-dua entiti ini memiliki sistem, aura serta nilai sosiobudaya yang berbeza.

Bandar moden di negara kita digerakkan oleh sistem kapitalis yang materialistik, melalui aktiviti perniagaan, pendidikan, sukan malah budaya popularnya. Sementara perkampungan tradisional, termasuk perkampungan Orang Asli, lebih merupakan pusat kediaman yang menyepadukan jalinan kekitaan sewarisan, kepercayaan, budaya turun temurun, bahasa yang tunggal, serta hubungan horizontal dengan alam dan masyarakat sekitarnya.

Budaya bandaran

Ketika perkampungan tradisional secara tenang cuba bertahan dan mempertahankan kesinambungan sesuatu yang bersifat turun temurun, kota sentiasa menggelegak dengan pelbagai aktiviti yang terdedah kepada penyimpangan, eksperimen, kejutan, inovasi, jenayah berat dan sebagainya.

Tetapi pendiri kota yang pada awalnya golongan kolonial, menyedari bahawa kehidupan ‘keras’ dan ‘kering’ di kota haruslah diimbangi dengan kegiatan yang boleh melembutkan dan membasahkan hati nurani penduduknya. Lalu muncullah apa yang disebut sebagai budaya bandaran.

Budaya bandaran datang dalam bentuk pementasan opera atau bangsawan, tarian balet, pementasan drama, diskusi seni, pameran karya visual dan sebagainya. Tidak ketinggalan ialah penerbitan karya sastera. Akhirnya kota juga pusat seni, sastera dan budaya.

Aktiviti seperti itu akhirnya turut membentuk sesebuah kota menjadi pusat seni, seperti yang berlaku di Kuala Lumpur, Jakarta, Singapura dan sebagainya.

Sudut pandang Akiya yang disampaikan bagi mewakili Orang Asli, akan bersifat sementara dan berubah perlahan-lahan. Kota bukanlah raksasa antagonis yang hitam semuanya. Kota hanya suatu tempat yang bersifat fizikal. Semangat serta rohnya ditentukan sendiri oleh penghuninya atau mereka yang mendatanginya.

Jika kita melihat dimensinya yang positif, dan meraihnya demi kebaikan diri, kepercayaan, budaya, masyarakat dan masa depan, maka natijahnya akan berakhir dengan kebaikan.


1 comment: