Thursday, October 8, 2009

Akiya : Berita WWW. JHEOA.GOV.MY

RM2.4 Juta Bantu Orang Asli
Kira-kira RM2.4 juta telah diperuntukkan dalam pelaksanaan projek bantuan rumah khusus bagi Orang Asli di negeri ini dan Melaka.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, jumlah tersebut meliputi kos keseluruhan projek berkenaan yang diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Menurut beliau, projek tersebut yang sudah selesai dan berada pada peringkat pengagihan melibatkan pembinaan 83 buah unit rumah bagi kaum itu di Negeri Sembilan dan Melaka.
"Ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam mempertingkatkan taraf penempatan kaum Orang Asli di negara ini sekali gus tidak meminggirkan mereka dalam apa juga projek pembangunan," kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival 1Malaysia dan Program Mesra Minda di Kampung Orang Asli Langkap di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Tn. Hj. Mohd. Sani Bin Mistam dan Pengarah JHEOA Negeri Sembilan & Melaka, En. Bakar Bin Unus.
Menurut beliau lagi, projek berkenaan juga sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam menghapuskan golongan miskin tegar di kalangan rakyat di negara ini.
Katanya, pembinaan rumah berharga RM29,300 seunit itu akan diagihkan kepada 83 buah keluarga Orang Asli di dua negeri itu.
Dalam perkembangan lain, Hasan turut memberitahu, sebanyak 7,000 buah rumah Orang Asli akan mendapat bekalan elektrik 24 jam menjelang 2012.
"Buat masa ini, kita sudah mengenalpasti kawasannya dan akan dijalankan secara berperingkat," ujar beliau.
07/08/2009

1 comment: