Monday, October 19, 2009

Utusan Online 20.10.2009
MANJUNG 19 Okt. - Selama ini, masyarakat Orang Asli biasa lebih tertumpu kepada aktiviti ekonomi tradisional dengan menjual hasil-hasil hutan seperti akar kayu dan petai.
Amat sukar untuk menemui Orang Asli yang terlibat dalam aktiviti perniagaan di bandar-bandar yang banyak dikuasai kaum-kaum lain di negara ini.
Bagaimanapun, keadaan tersebut telah berubah sekarang dengan semakin ramai golongan tersebut dilihat mengambil peluang daripada pembangunan pesat yang berlaku dengan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.
Salah satu bidang yang menarik minat anak-anak gadis Orang Asli ialah perniagaan berasaskan kecantikan seperti salon, spa dan andaman.
Justeru, tidak hairan ramai kalangan mereka tidak melepaskan kesempatan daripada memohon bantuan pembiayaan latihan kemahiran dan modal awal perniagaan yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).
Sejak 2007, seramai 50 anak-anak gadis Orang Asli mengikuti latihan kemahiran di pusat-pusat latihan kecantikan setiap tahun.
Salah sebuah pusat latihan yang menempatkan pelatih-pelatih Orang Asli ialah Akademi Siti Salon yang terletak berdekatan dengan stesen bas Manjung di sini.
Akademi yang berdaftar dengan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) itu sudah memberikan latihan kepada 50 anak Orang Asli dari seluruh negara sejak 2007 termasuk 11 orang pada tahun ini.
Menurut Pengetuanya, Siti Hajar Jamil, semua pelatih Orang Asli itu mengikuti kursus asas selama tiga bulan dalam bidang dandanan rambut, kecantikan diri dan spa.
Katanya, mereka mula mengikuti latihan sejak 17 Julai lalu dan menamatkan kursus baru-baru ini.
''Daripada apa yang saya lihat, anak-anak gadis Orang Asli ini cukup minat dengan kecantikan diri dan kebanyakannya menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk berjaya.
''Selepas tamat kursus ini, mereka mempunyai kemahiran mencukupi untuk mengadakan perkhidmatan andaman dari rumah ke rumah atau membuka perniagaan salon sendiri atau bekerja di kedai salon," katanya.
Sementara itu, seorang pelatih Orang Asli, Zurina Mohamed, 19, dari Bidor, dekat sini berkata, sejak kecil lagi, dia sudah bercita-cita untuk membuka salon sendiri dan ia mendorongnya untuk mengikuti latihan tersebut.
''Industri kecantikan mempunyai pasaran cukup baik sekarang kerana terdapat banyak permintaan daripada orang ramai.
''Saya bercadang berkongsi dengan dua orang sepupu saya untuk membuka kedai salon sendiri di pekan Temerloh, Pahang selepas ini," katanya.
Sepupunya, Juyah Wal, 24, dari Paya Pelong, Kerdau, Pahang pula percaya mampu berjaya dalam bidang andaman kerana tiada Orang Asli di kampungnya yang menawarkan perkhidmatan tersebut.
''Saya ingin menjadi mak andam dan bapa saya menyokong sepenuhnya hasrat saya ini," katanya.
Seorang lagi pelatih, Samili Roki, 25, berkata, dia terus memohon untuk mengikuti latihan kecantikan selepas mengetahui JHEOA menawarkan pembiayaan secara percuma.
''Saya mahu mencari pengalaman dengan bekerja selama tiga bulan di kedai salon dahulu sebelum membuka perniagaan sendiri," kata anak nelayan dari Gelang Patah, Johor Bahru itu.
Rakannya, Ayu Hiring, 19, dari Kampung Guntur, Jelebu, Negeri Sembilan pula memilih untuk mengikuti kursus kecantikan kerana percaya bidang tersebut boleh memberikan pendapatan lumayan.
''Sebelum ini saya pernah mengikuti kursus menjahit tahap satu tetapi berminat untuk belajar dalam bidang ini selepas melihat ada kawan yang memiliki kemahiran ini mampu berdikari," katanya.

No comments:

Post a Comment