Monday, October 5, 2009

Mahat : Ikon JHEOA 2009

Jumaat Oktober 2, 2009
Teladani Mahat, Ikon Orang Asli 2009
Oleh MELATI MOHD ARIFF

Mahat a/l Mat Dong menunjukkan trofi dan sijil yang diterima sebagai Ikon Orang Asli 2009 ketika ditemui Bernama, baru-baru ini. -Foto BERNAMA
RAUT wajahnya persis anak muda Melayu, kemas dan segak berpakaian sut gelap. Tangannya menggenggam BlackBerry. Tutur katanya penuh sopan dan berkeyakinan.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan kini menyandang jawatan Penolong Pengarah Kanan di Unit Pelaksanaan Projek Persekutuan Pahang, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS).
Ogos lepas, beliau dinobatkan sebagai Ikon Orang Asli 2009, anugerah yang julung kali diwujudkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia (JHEOA) sempena Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan Orang Asli.
KESEMPITAN HIDUP
Lebih 30 tahun lalu, anak muda ini, Mahat a/l Mat Dong membesar dalam serba-serbi kekurangan di Kampung Bukit Bangkong, sebuah perkampungan Orang Asli suku kaum Jakun di Sungai Lembing, Pahang.
Kampung yang dikelilingi hutan itu tidak ada sebarang bentuk pembangunan termasuk bekalan elektrik dan air serta jalan tar berbanding hari ini.
Kehidupan keluarganya hanya setakat "kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang".
Bapanya tidak mempunyai pekerjaan tetap, hanya membuat kerja kampung, menebang balak, mencari rotan di hutan serta membuat kerja kontrak untuk kelangsungan hidup keluarganya.
"Di rumah, barang-barang seperti beras, gula, garam memang selalu tak ada. Pernah satu ketika ada hanya segenggam beras, nak makan satu keluarga sembilan orang memang tak cukup.
"Dengan segenggam beras itu emak buat bubur, masukkan pucuk paku dan ikan nak jadikan banyak. Selalu juga kami makan nasi dengan garam, air suam, kami jadikan kuah.
"Kalau ada rezeki memancing, dapatlah ikan pepuyu atau ikan haruan. Inilah sumber protein saya semasa kecil," cerita Mahat, anak sulung daripada tujuh beradik kepada Bernama, mengimbau kisah silamnya.
KUATKAN AZAM
Zaman persekolahan Mahat dilakari pelbagai cerita pahit terutama diejek budak-budak sekolah yang lain. Semuanya kerana pakaian dan kasutnya yang kotor.
Menurut Mahat, pakaian dan kasutnya kotor bukan kerana tidak cuci tetapi kerana dia terpaksa berjalan dan melalui jalan tanah merah untuk sampai ke jalan besar dan mengambil bas ke sekolah.
Pondok kayu yang kecil yang menjadi kediaman keluarganya terletak kira-kira empat kilometer dari jalan besar.
Untuk ke sekolah, beliau perlu keluar seawal 5.30 pagi, dan jika berjalan kaki hingga ke jalan besar, bukan sahaja kasutnya menjadi merah, pakaiannya juga akan kotor.
"Kotor-kotor pun pergi juga ke sekolah. Selalu sangat kena ejek tetapi itu semua sebenarnya menguatkan semangat.
"Kami masyarakat Orang Asli selalu dipanggil Orang Kitak yang bermaksud Orang Asli. Bila berselisih, itulah panggilannya, kalau nak bergaduh memang akan bergaduh tetapi saya tak sampai ke peringkat itu," kata Mahat yang semasa kecil bercita-cita menjadi guru.
PEMBAKAR SEMANGAT
Menurut beliau, meskipun bagi sesetengah orang, ejekan menjadi 'pematah semangat' tetapi bagi dirinya ia sebenarnya 'pembakar semangat'.
"Saya kuatkan azam untuk terus bersekolah sebab keluarga saya susah. Kalau saya tak belajar, saya pun mungkin jadi macam ayah saya, tanpa pendidikan tetap, tanpa pekerjaan tetap. Saya tak akan dapat merubah keadaan kehidupan keluarga saya," demikian kata Mahat.
Bapa Mahat, Mat Dom bin Batin Dagang hanya bersekolah sehingga darjah dua sahaja dan ibunya, Lee Dee tidak pernah bersekolah. Namun kata Mahat, ibunya boleh membaca berkat ketekunannya belajar di sekolah dewasa.
Meskipun tidak berpelajaran tinggi, keadaan ini bagaimanapun tidak menghalang pasangan ini untuk memberi galakan kepada Mahat dan adik-adiknya yang lain supaya rajin bersekolah.
"Emak dan ayah bagi dorongan kuat untuk saya belajar. Semasa kecil tak ada elektrik, belajar guna pelita minyak tanah. Rumah sempit, di situ makan, di situ tidur dan di situ juga tempat belajar. Susah betul hidup masa kecil," katanya.
Mahat berkata ibu dan bapanya selalu berpesan, "belajarlah rajin-rajin, jangan jadi macam emak dan ayah. Kalau emak dan ayah dah susah takkan kau nak susah juga.
"Dalam kelas bila belajar saya selalu ingat pesanan emak dan ayah. Saya sedih kalau teringatkan kata-kata mereka. Saya sudah nampak emak dan ayah susah, tak ada pendidikan, ayah tak ada pekerjaan tetap," katanya.
CABARAN BELAJAR
Situasi persekolahan menengah tidak banyak bezanya bagi Mahat. Ejekan masih ada meskipun tidak seteruk sekolah rendah.
Beliau bersekolah di Sekolah Menengah Tengku Abdullah, Pekan dari tingkatan satu hingga lima dan sepanjang tempoh persekolahan itu, beliau tinggal di asrama.
Menurut Mahat, beliau konsisten belajar semasa di sekolah menengah dan sering berada dalam senarai sepuluh pelajar terbaik, satu-satunya anak Orang Asli dalam kedudukan itu.
Beliau juga dilantik menjadi pengawas dari tingkatan tiga hingga lima. Di samping itu beliau juga menjadi pengawas asrama dan pengawas perpustakaan.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Mahat. Untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau hanya mendapat gred dua.
"Memanglah saya kecewa lebih-lebih lagi jika dibandingkan keputusan saya dengan kawan-kawan yang sama belajar. Saya tak tahu di mana silapnya.
"Walaupun keputusan SPM tidak bagus, ini tidak bermakna saya sudah gagal dalam hidup. Saya berfikir bagaimana cara saya untuk melanjutkan pelajaran dengan keputusan yang saya perolehi," katanya.
Mahat kemudian pergi ke JHEOA untuk bertanya peluang melanjutkan pelajaran.
Seorang petugas di jabatan itu memberikannya borang permohonan ke Politeknik dan Institut Kemahiran Mara (IKM).
"Rezeki saya dengan politeknik. Saya diterima masuk ke Politeknik Kota Bharu pada Jun 1995 dalam bidang kejuruteraan automotif mekanikal.
"Semasa menerima berita itu, saya terfikir juga yang Kelantan itu jauh dan macam mana saya nak pergi kerana tak ada wang untuk beli pakaian serta beg dan perlu juga ada duit poket sebelum dapat biasiswa.
"Saya ikut ayah masuk ke hutan cari rotan dan dari jualan rotanlah saya mempunyai wang untuk beli keperluan ke politeknik. Hidup selepas itu tak susah sebab dapat biasiswa, cukup untuk bayar sewa rumah, makan dan minum serta beli peralatan belajar," kata Mahat sambil menambah, ketika itu hanya beliau satu-satunya anak Orang Asli yang belajar di Politeknik berkenaan.
KEADAAN BERBEZA
Berbanding zaman persekolahan rendah dan menengah, keadaan belajar di politeknik amat jauh berbeza. Meskipun susah belajar di peringkat awal kerana beliau adalah pelajar jurusan sastera dan tidak langsung mempunyai asas teknikal, beliau amat seronok belajar di politeknik.
Kawan-kawannya banyak membantu dan beliau juga tidak segan untuk bertanya dan meminta bantuan.
"Semasa di semester satu, keputusan saya cukup makan sahaja dan hampir-hampir nak diberhentikan. Selepas itu saya kuatkan tekad untuk belajar . Keputusan saya yang berikutnya semua cemerlang sehinggakan subjek Tamaddun Islam pun saya boleh dapat 4.0 flat walaupun saya bukan Islam.
"Di politeknik saya mula dengan sijil sahaja sebab saya gagal Bahasa Inggeris dalam SPM. Lepas sijil saya mesti kerja dulu selama enam bulan untuk sambung ke peringkat diploma di Politeknik yang sama," cerita Mahat. Beliau tamat belajar peringkat Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) pada Disember 1998.
Keinginannya menyandang jawatan yang lebih tinggi mendorong anak muda ini menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dan akhirnya menggenggam segulung ijazah pada Oktober 2003.
TIDAK LUPA KELUARGA
Tidak seperti Kisah Si Tanggang, Mahat tidak pernah melupakan jasa ibu dan bapanya serta nasib adik-adiknya mahupun asal usulnya.
Semasa beliau bekerja selepas tamat Politeknik peringkat Sijil lagi, beliau sudah mengirim wang kepada keluarganya di kampung.
"Saya jenis pentingkan keluarga. Walaupun kawan-kawan sibuk membeli handphone dan motosikal, dapat sahaja gaji pertama saya hantar wang untuk emak dan ayah. Hampir separuh daripada gaji RM1,500 saya kirim untuk emak dan ayah.
"Saya juga menabung, sikit-sikit saya beli barang untuk baiki dan besarkan rumah di kampung. Saya berfikir kalau dengan gaji Sijil, saya boleh bantu emak dan ayah dan besarkan rumah, tentunya kalau gaji Diploma saya boleh buat banyak lagi," kata Mahat.
Beliau juga memotivasikan dirinya untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat Ijazah ketika bekerja sebagai penolong jurutera dengan syarikat Jepun di Batu Pahat.
Semasa belajar di UTM, beliau mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan dengan wang itu beliau masih membantu ibu dan bapanya.
"Dalam kamus hidup saya masa itu tak ada nak berbelanja, menonton wayang, beli motosikal atau handphone," jelasnya yang masih mengirim wang untuk perbelanjaan ibu dan bapanya meskipun mereka mendapat RM500 sebulan hasil ladang kelapa sawit di samping bantuan wang daripada adik-adiknya yang lain.
Setelah bekerja beberapa tahun dengan pihak swasta, Mahat membuat keputusan untuk menyertai perkhidmatan kerajaan. Pada Februari 2004, beliau berkhidmat sebagai Jurutera Mekanikal, Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal, JPS Terengganu.
Pada Disember 2005, beliau bertukar ke JPS Pahang sebelum dipindahkan ke Bahagian Hidrologi dan Sumber Air, JPS ibu pejabat di Kuala Lumpur. Meskipun dinaikkan pangkat kepada Penolong Pengarah Kanan, beliau memohon balik ke Pahang apabila penubuhan Unit Pelaksanaan Projek Persekutuan Pahang diluluskan.
"Ramai juga terkejut apabila saya minta balik ke Pahang. Saya beritahu mereka saya mahu membantu masyarakat kaum saya," katanya yang memberitahu dia juga amat berterima kasih kepada JHEOA yang banyak membantu sepanjang persekolahan dan pengajiannya di Politeknik.
PERLU MOTIVASI
Di tengah-tengah kesibukan tugas yang disandang sekarang, Mahat gigih mengendalikan program motivasi khusus untuk pelajar Orang Asli.
Kegiatan kemasyakarakatan ini, katanya, dimulakan semasa beliau belajar di politeknik lagi atas rasa kesedaran untuk membela nasib kaumnya.
"Disebabkan saya berasal dari keluarga susah, saya sering memikirkan nasib masyarakat saya. Meskipun kerajaan banyak membantu masyarakat Orang Asli tetapi tidak ramai yang berjaya.
"Pada saya yang kurang ialah motivasi. Daripada motivasi, kita boleh beri kesedaran dan tekankan pentingnya pendidikan," kata Mahat sambil menjelaskan, pembabitannya dalam program motivasi sedemikian mungkin kriteria dia dipilih sebagai Ikon Orang Asli 2009.
Kebanyakan ceramah motivasinya dibuat atas anjuran JHEOA atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sekitar negeri Pahang.
Di dalam ceramah motivasinya di kampung dan sekolah, Mahat berkata beliau sering menekankan kepada masyarakat Orang Asli akan kemajuan yang sudah dikecapi oleh kaum-kaum lain negara ini dan sampai bila mereka mahu hidup di kampung dan mencari hasil hutan.
Menurut Mahat, dia juga menyakinkan pelajar-pelajar Orang Asli supaya jangan lemah semangat meskipun menjadi bahan ejekan pelajar lain.
Dalam masa yang sama, Mahat berharap lebih ramai anak Orang Asli yang berjaya akan tampil untuk menolong masyarakat mereka di kampung dan tidak melupakan asal usul mereka.
Beliau menambah, Orang Asli juga belum menikmati kemerdekaan dari segi pelajaran dan masih banyak yang perlu dibuat termasuk menangani keciciran yang tinggi di peringkat sekolah menengah.
"Orang Asli akan merdeka dari segi pendidikan bila tahap keciciran berkurangan dan lebih ramai anak Orang Asli melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi, lebih ramai menjawat jawatan tinggi dan mendapat jawatan tetap.
"Perjalanan ini masih jauh. Apa yang saya buat ini hasilnya bukan boleh dicapai dalam masa yang singkat. Proses membangunkan masyarakat Orang Asli ini bukan sekejap dan bukan juga mudah. Apa yang dilakukan mungkin untuk generasi akan datang," tegasnya. BERNAMA

No comments:

Post a Comment