Monday, October 19, 2009

Utusan Online : 20/10/2009

UTARA
Orang Asli berpeluang jadi tukang masak
MANJUNG 19 Okt. - Mulai tahun depan, Orang Asli berpeluang mengikuti latihan industri masakan dan seterusnya menjadi chef di Kagumas Catering Services Sdn. Bhd. (Kagumas) yang membekalkan makanan kepada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang (JHEOA), Nisra Nisran Asra Ramlan berkata, ia merupakan kursus kemahiran terbaru yang akan ditawarkan oleh pihaknya bagi membangunkan modal insan kalangan masyarakat Orang Asli.
''Pada November dan Disember ini, kita akan turun padang untuk memberi taklimat dan mencari sekurang-kurangnya sepuluh Orang Asli yang berminat menceburi kerjaya dalam bidang masakan.
''Pelatih akan mengikut kursus penyediaan makanan selama enam bulan dengan Kagumas sebelum terus diserap bekerja dengan syarikat tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat 11 gadis Orang Asli yang sedang mengikuti kursus dandanan dan kecantikan di Akademi Siti Salon di sini baru-baru ini.
Mereka merupakan antara 50 anak Orang Asli yang dihantar mengikut kursus tersebut oleh JHEOA pada tahun ini.
Menurut Nisra Nisran, pihaknya kini berusaha mengubah mentaliti Orang Asli supaya tidak lagi bergantung kepada ekonomi tradisional tetapi merebut peluang perniagaan dan pekerjaan yang ada.
Katanya, JHEOA mempunyai peruntukan lebih RM2 juta setahun bagi membangunkan modal insan kalangan Orang Asli termasuk pembiayaan kursus latihan dan modal untuk memulakan perniagaan.
''Sekarang, kita perlu bekalkan Orang Asli dengan kemahiran supaya mereka boleh menjadi usahawan berjaya setanding dengan masyarakat lain di negara ini," katanya.
Beliau berkata, pihaknya menyediakan banyak peluang mengikut latihan kemahiran dalam pelbagai bidang secara percuma kepada Orang Asli tetapi tidak ramai yang merebut peluang tersebut.
''Antara masalahnya adalah Orang Asli masih tidak mahu berjauhan dengan keluarga dan tinggal di bandar.
''Selain itu, saya rasa sistem penyampaian JHEOA juga perlu dimantapkan supaya Orang Asli mendapat maklumat mengenai program serta bantuan yang kerajaan sediakan kepada mereka," katanya.
Dalam pada itu, Nisra Nisran memberitahu, JHEOA menyediakan bantuan sebanyak RM35,000 iaitu RM10,000 dalam bentuk peralatan dan RM25,000 bagi ubah suai kedai kepada Orang Asli yang ingin memulakan perniagaan salon kecantikan.
''Kita juga akan membayar sewa kedai mereka selama setahun dan kalau mereka mahu berniaga di kampung, kita akan tolong bina bangunan kedai untuk mereka.
''Kalau mereka hendak bekerja dahulu, kita akan tolong tempatkan mereka di salon kecantikan dan kita juga akan beri elaun RM500 sebulan jika gaji mereka RM500 sebulan,'' katanya.

No comments:

Post a Comment